Kolej Kediaman Pertama

 (ASTAR)

Sejarah Asrama Tuanku Abdul Rahman (ASTAR)

Kolej Kediaman Pertama merupakan kolej kediaman yang tertua sekali di UniversitI Malaya. Ia dibina pada tahun 1959 dan terdiri daripada tiga blok iaitu Blok A, B dan C. Kumpulan pertama yang menginap kolej ini cuma 28 penghuni sahaja dan angka ini terus meningkat kepada 265 orang. Para penghuninya pada masa itu terdiri daripada penuntut-penuntut tahun tiga Fakulti Sastera dan Kejuruteraan yang telah dipindahkan daripada Universiti Malaya cawangan Singapura. Pada tahun 1971, dua buah blok tambahan iaitu Blok D dan Blok E telah dibina bagi memenuhi keperluan penginapan pelajar di mana ianya boleh menampung seramai 270 orang penghuni baru.

Ketika awal penubuhan kolej ini, ianya diduduki oleh penghuni lelaki sahaja. Bilangan penghuni perempuan adalah amat sedikit dan akhirnya tidak lagi menginap di sini. Namun demikian, menjelang tahun 1968, pihak kolej telah memberi kebenaran sekali lagi kepada pelajar perempuan (senior) untuk menginap di kolej ini. Mereka ditempatkan di Blok A sementara penghuni lelaki ditempatkan di Blok B dan Blok C. Kini, jumlah penghuni kolej ini mencecah bilangan 700 orang. 

Kolej ini pada mulanya dikenali sebagai Kolej Pertama (First Residential College) kerana ia merupakan kolej yang pertama dibina di Universiti Malaya. Ia kemudiannya ditukarkan kepada nama Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR) sempena mengambil nama D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad. Pada tahun 1978, KTAR telah ditukar namanya kepada Asrama Tuanku Abdul Rahman (ASTAR). Pada tahun 1993, nama kolej telah ditukarkan kepada Kolej Kediaman Pertama.

Pada tahun 1968, kolej ini menganjurkan program sukan di antara KTAR-DRN (Duncan Road Hostel, Singapura) buat pertama kalinya. Pada tahun 1982, perlawanan persahabatan antara KTAR dengan SHEARES Hall juga telah diadakan. Oleh kerana kemenangan sentiasa berpihak kepada kolej ini, maka kolej ini sentiasa disegani oleh kolej-kolej lain.

Dari segi kegiatan lain, PRIMA iaitu majalah tahunan kolej ini mula diterbitkan pada tahun 1965. Berita KTAR diterbitkan pada tahun 1969 dan digantikan kepada SINAR ASTAR pada tahun 1980. Sehingga kini, majalah tahunan kolej masih lagi diterbitkan dengan nama majalah PERTAMA.

Kumpulan band yang pertama iaitu ASTAR THE RAMANITES telah ditubuhkan pada 1967. Dua tahun kemudian, koir kolej dibentuk dan dinamakan KTAR SING ALONG CHOIR. Lagu kolej UP FIRST RC telah dicipta pada tahun yang sama. Pada tahun 1992, ALUMNI telah ditubuhkan di mana ahlinya terdiri daripada bekas-bekas penghuni kolej ini. Presiden yang pertama adalah Y.B. Datuk K. Pathmanathan. Semasa awal tahun 60-an, kegiatan kolej ini telah ditadbir-urus oleh JCRC (JUNIOR COMMON ROOM COMMITTEE) yang kemudiannya digantikan oleh MBA (MAJLIS BERMESYUARAT ASRAMA) pada tahun 1975. MBA dimansuhkan dan digantikan oleh JIA (JAWATANKUASA INDUK ASRAMA) dan JTA (JAWATANKUASA PERKEMBANGAN) iaitu Kemasyarakatan, Akademik, Kreatif, Sukan serta Kerohanian dan Adab Sopan.

Sehingga kini, terdapat perubahan nama pada kedua-dua pentadbiran kegiatan dan aktiviti kolej. Perkataan “ASRAMA" pada JIA dan JTA telah digantikan kepada “KOLEJ" iaitu JIK dan JTK yang bersesuaian dengan fungsinya. Daripada situ juga, kelima-lima JKP telah dikekalkan dan diubah namanya kepada Kemasyarakatan dan Kebajikan, Akademik dan Intelektual, Kreativiti dan Kesenian, Sukan dan Rekreasi serta Kenegaraan, Etika dan Patriotisme.